Search This Blog

8 July, 2010

By Muhammad Hasanuddin Yusoff

Adakah matlamat golongan mahasiswa zaman ini sejajar dengan peranan yang diamanahkan oleh masyarakat umum kepada barisan pelapis kepimpinan negara ini? Sedarkah mahasiswa bahawa mereka juga sebahagian dari masyarakat sivil dan bukan hanya terperangkap dalam kerangka kampus?


Mahasiswa adalah golongan terpelajar dan dalam kalangan yang terpilih untuk berada di menara gading seperti ulasan Abdul Aziz Bari dalam salah sebuah esei dalam karyanya, Politik Perlembagaan.

Kelulusan yang diperlukan untuk seseorang mahasiswa melanjutkan pelajaran adalah tinggi dan sudah semestinya yang terpilih adalah yang benar-benar layak. Peluang ini secara ideal diharapkan bakal melahirkan seorang insan yang berguna dan mampu menyumbang balik kepada masyarakat.


Namun begitu, adakah dengan labelan tersebut ianya mampu untuk menjaminkan bahawa golongan mahasiswa yang dilahirkan hasil daripada sistem pendidikan yang kita ada adalah golongan yang sentiasa peka dan sensitif kepada setiap isu kenegaraan, termasuk soal perundangan? Ini adalah satu persoalan asas yang harus difahami dan dijawab oleh mahasiswa sendiri.

Sepandang mata jelas dilihat betapa kerapnya muncul kes-kes yang melibatkan kepentingan awam seperti pendedahan butiran konsesi air oleh SYABAS, penahanan rakyat Malaysia bawah ISA, isu penganjuran pilihan raya kerajaan tempatan, tuduhan AUKU ke atas 4 pelajar Sains Politik di UKM, dan sebagainya.

Apakah peranan mahasiswa dalam menjana idea dan jalan penyelesaian bagi perkara-perkara yang melibatkan hal ehwal umum? Bagaimana pula dengan soal prinsip? Adalah oleh kerana inilah kita harus faham akan falsafah perjuangan dan mahasiswa itu itu sendiri!

Jelas sekali mahasiswa hari ini tidak punya sensitiviti tentang soal kenegaraan – cuma tertumpu dalam bidang jurusan masing-masing – tanpa menghiraukan tanggungjawab mereka sebagai golongan terpelajar dalam masyarakat, bahkan tidak pun mempergunakan ilmu jurusan masing-masing untuk membantu masyarakat!

Kepada mahasiswa yang berkata, “Cukuplah saya membanggakan ibu-bapa dengan ijazah saya”, apakah gunanya ijazah jika negara dan rakyatnya tidak berfungsi? Ingat-ingatlah pepatah “No man is an island entire of itself”

Mahasiswa harus lebih faham sebelum kita memberi kefahaman kepada yang lain. Antara pengetahuan yang harus ada pada setiap mahasiswa, tanpa megira jurusan, adalah kefahaman asas undang-undang negara, terutamanya kefahaman Perlembagaan Persekutuan – “the supreme law of the country.”

Dengan pemahaman ini dan falsafah di sebalik penggubalan perlembagaan, barulah lahirnya keupayaan untuk mahasiswa memainkan peranannya dalam masyarakat. Ufuk minda mahasiswa harus juga merangkumi soal kenegaraan yang lain seperti soal politik, ekonomi, sosial, budaya, kesenian dan lain-lain. Tetapi yang penting sekali adalah hasrat dalam jiwa dan hati mahasiswa yang inginkan perubahan ini.

Sebagai bakal pemimpin masa depan, mahasiswa semua harus keluar daripada kerangka kampus, bebaskan corak pemikiran dari acuan yang ditetapkan oleh orang lain dan pekakan minda terhadap isu-isu hal ehwal umum dan cadangkan jalan keluar supaya dapat mencari jalan penyelesaian kepada isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat umum. Bicara dengan ilmu, prinsip dan intelektual. Tinggalkan emosi dan sikap taklid supaya mahasiswa mempunyai imej tersendiri.

Kita harus ubah daripada apa yang kita punya sekarang.

Percaya pada diri dan mulai berubah.

Yakinlah bahawa mahasiswa dan anak muda ini punyai idealisme yang sudah bersedia memimpin negara.

Kata Karyawan Agung Indonesia, Pramoedya Ananta Toer; “Mahasiswa, saya yakin kamu itu tahu apa yang harus kamu lakukan.”

LB: Pengarang adalah alumnus Program Asasi Undang-Undang UiTM dan Presiden Persatuan Mahasiswa Undang-Undang UKM.

0 comments:

Post a Comment